Julia cuba untuk pulang awal dari pejabat demi
menyambut ibu dan bapanya yang tiba dari kampung tapi jam telah menunjukkan
pukul 5.30 petang. Sepatutnya, dia balik pada pukul 5.00 petang tetapi
disebabkan kerja yang banyak dia tidak sedar yang jam sudah menjangkau jam 5.00
petang. Julia cepat-cepat mengemas barang-barangnya supaya dia dapat pulang
secepat mungkin.
Setibanya Julia di rumah, Julia
melihat kereta ibu dan ayahnya sudah ada di tempat parkir kereta. Ini bermakna
mereka sudahpun sampai. Julia cepat-cepat naik.Iskandar turut sama ada.
Apabila
Julia melangkah masuk ke rumahnya, dia melihat ibu dan ayahnya bersama dengan
Iskandar sedang berbual.
“Mak, ayah. “ Julia menegur ibu dan
ayahnya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam dengan mereka. Selesai
menyalami tangan kedua ibu dan ayahnya, Julia terpandang Iskandar yang sedang
duduk di situ juga. Mereka saling memandang.
“Hai.
“ Iskandar menegur Julia. Dia tidak tahu bagaimana mahu menegur Julia. Keadaan
sungguh janggal antara mereka pada waktu ini.
“Hai.
“ Julia membalas dengan janggal.
“Awalnya awak balik.” Julia
buat-buat tanya pada Iskandar.
“Macam
tu ke nak tegur suami bila balik kerja. Kot ye pun salam tangan suami tu dulu.”
Ibunya menegur. Julia hanya tersengih. Sudah lama dia tidak mendengar leteran
ibunya yang dia amat rindui. Julia terus mendapatkan tangan Iskandar dan
menyalaminya.
“Nasib
baik Iskandar balik awal. Kalau tak terpaksa la kami menunggu kat luar rumah
sampai kamu balik.” Ayah Julia pula menegur.
“Minta
maaf mak, ayah. Tadi kerja banyak sangat.” Julia memberi alasan.
“Kerja
sampai bila pun takkan habis. “ Ibu Julia menyambung bebelannya. Julia hanya
senyap mendengarnya. Tiada lagi alasan mahu diberikannya.
“Is,
majlis esok mula pukul berapa?” Ayah Julia bertanya pada Iskandar tentang
majlis yang bakal diadakan. Itulah tujuan utama mereka datang.
“Ayah
bagitahu nanti majlis akan bermula lepas Isyak. Kebetulan selepas jemaah
selesai solat Isyak, kami panggil jemput mereka singgah ke rumah.”
“Eloklah
macam tu. Tak payah susah-susah perlu jemput tetamu dari rumah ke rumah.“ Ayah
Julia turut bersetuju dengan cara yang digunakan untuk menjemput tetamu.
“Mak
dengan ayah bercadang nak tinggal berapa lama kat sini?” Julia tiba-tiba
bertanya.
“Bunyi
macam tak sabar-sabar nak halau kami balik saja.” Ibu Julia memerli.
“Tak
adalah, mak. Ju suka mak dengan ayah tinggal kat sini. Lama-lama pun tak apa.
“Julia memeluk ibunya dengan erat. Melepaskan rindu pada ibunya.
“Mak
dengan ayah mesti letih. Apa kata mak dengan ayah pergi berehat dulu.” Iskandar
Melihat mata ayah mertuanya yang semakin kuyu, Iskandar memberi cadangan.
“Bagus
juga tu. Ayah memang dah letih sangat memandu dari jauh. Lain la mak kamu tu.
Dia mana letih sebab kerjanya duduk sebelah tidur sepanjang perjalanan.” Terus
sahaja ayah mertuanya setuju.
Iskandar
membantu ibu dan ayah mertuanya dengan mengangkat beg pakaian mereka masuk ke
bilik yang dihuni oleh Julia. Setelah bilik tersebut dihuni oleh ibu dan
ayahnya, Julia kini terpaksa tidur di bilik Iskandar.
Setelah
ibu dan ayah Julia masuk berehat, Julia turut sama ingin merehatkan dirinya
yang baru sahaja pulang dari bekerja. Badannya terasa melekit. Dia sudah
membayangkan dirinya dibawah pancuran air yang dingin.Julia merasa dirinya
perlu mandi. Tanpa berfikir panjang, Julia terus masuk ke bilik Iskandar kerana
di bilik Iskandar sahaja tempat untuk dia membuat segala perkara peribadinya.
Melangkah
masuk ke bilik Iskandar, dia melihat keadaan bersepah. Julia pergi mendapatkan
beg pakaiannya yang baru sahaja dipindahkan dari bilik biliknya ke bilik
Iskandar. Setelah mencapai tuala, Julia terus melangkan ke bilik air. Apabila
pintu bilik air dibuka, Julia melihat sesuatu yang tidak patut dilihatnya.
Perkara itu membuatkan dia menjerit. Iskandar cepat-cepat menutup mulutnya
untuk menghalang Julia dari terus menjerit. Takut nanti ibu dan bapa mertuanya
mendengar.
“Syhhh…
nanti ayah dengan mak dengar.” Iskandar memberi amaran pada Julia sambil
tangannya kini berada di mulut Julia.
Julia
senyap apabila Iskandar beritahunya yang mungkin jeritannya akan didengar oleh
ibu dan ayahnya.
“Kalau
mak dengan ayah dengar awak menjerit, nanti diorang fikir apa pula saya buat
pada awak.” Sekali lagi Iskandar memberi amaran pada Julia.
Kini
Julia kembali kepada pemikiran warasnya. Mujurlah dia masuk pada waktu yang
betul. Kalau tidak, mungkin lain pula yang akan dilihatnya jika dia masuk pada
waktu yang salah. Rupa-rupanya Iskandar juga berada di dalam bilik air untuk
mandi. Dia hampir-hampir membuka seluarnya ketika Julia membuka pintu bilik
air.
“Kot
ye pun nak mandi, kenapa awak tak kunci bilik air ni?” Julia bertanya dalam
nada marah. Kalau dari awal Iskandar mengunci pintu, mungkin perkara yang tadi
tidak akan terjadi.
“Biasanya
saya tak kunci pintu sebab saya seorang saja yang guna bilik air ni.” Iskandar
memberi alasan.
“Baiklah,
kali ini saya maafkan awak. ”
“Kenapa
pula awak perlu maafkan saya. Saya tak pernah buat salah pada awak. “ Iskandar
tidak bersetuju dengan kata-kata Julia.
“Kejadian
tadi hampir buat saya gila awak tahu tak. Kalau saya masuk lebih lambat tadi,
mungkin saya akan terus gila tengok.... ” Kata-kata Julia terhenti. Tidak
sanggup dia menyambung ayatnya sendiri.
“…
tengok apa?” Iskandar cuba memaksa Julia menghabiskan ayatnya. Riak wajah
Iskandar sudah mula berubah.
“Tadi
awak nak mandi kan. Awak pergi la mandi dulu. Lepas ni saya nak mandi pula.”
Julia mengubah topik. Dia mula merasa janggal. Tidak tahu apa lagi yang akan
keluar dari mulutnya jika dia terus berada lama di situ, dia mengambil
keputusan untuk terus dia berlalu dari situ.
Iskandar
tersenyum sendiri melihat kelakuan Julia yang seakan hilang tingkah.
Julia
mengambil tempat untuk duduk. Sekarang dia perlu tenangkan dirinya setelah
beberapa perkara berlaku yang menguji ketenangan hatinya. Melihat Iskandar yang
tidak berbaju, sedikit sebanyak menggugat keimanannya.
Julia
tidak dapat bertenang apabila memandang keadaan sekelilingnya yang agak
bersepah. Baju-baju t-shirt dan kemeja bertaburan di atas katil dan
sesetengahnya berada di lantai. Julia mengambil keputusan untuk mengutip satu
persatu pakaian Iskandar. Apa sahaja yang dijumpai Julia, dia mengambilnya dan
memasukkannya ke dalam bakul pakaian. Sedang Julia asyik mengutip pakaian,
Julia perasan tangannya terpegang pakaian dalam Iskandar. Dia mengangkat
menggunakan hujung jari kerana berasa jijik dengannya.
“Apa
awak buat kat situ sambil pegang underwear
saya?” Julia terkejut apabila mendengar suara Iskandar yang baru keluar
dari bilik air. Terus sahaja dia meletakkan pakaian dalam tersebut ke dalam
bakul.
“Saya…
saya cuma kemaskan bilik ni. Lagipun nanti saya nak tidur di sini juga kan.
Bilik awak ni bersepah sangat.” Julia tergagap-gagap. Dia merasa malu apabila
Iskandar melihatnya sedang memegang salah satu barang peribadi milik Iskandar.
“Awak
boleh tak tolong pakai baju?” Julia perasan yang Iskandar hanya bertuala sahaja
apabila keluar dari bilik air.
“Pertama,
ini adalah bilik saya. Jadi saya berhak pakai atau tidak memakai apa sahaja
yang saya mahu. Kedua, saya dah terbiasa macam ni bila saya selesai mandi. Dan
pakaian saya ada dalam almari bukannya dalam bilik air.” Iskandar membantah
dengan apa yang disuruh Julia.
Julia
geram kerana Iskandar tidak mendengar kata-katanya. Dia cuba berlalu dari situ.
Tetapi lengannya dipaut oleh Iskandar.
“Mungkin
awak terpaksa biasakan diri dengan semua ini sebab saya adalah suami awak. Dan
saya akan jadi suami awak selama-lamanya.” Julia terdiam.