Friday, February 10, 2012

Hanya kamu - 31

Julia menghubungi ibu dan bapa mertuanya. Dia di minta tunggu di luar wad kerana doktor sedang menjalankan pemeriksaan ke atas Iskandar.

Julia tenang menanti di luar wad. Tidak lama kemudian, ibu dan bapa mertuanya datang. Mereka terus mendapatkan Julia.

“Is macam mana?” Tanya ibu Iskandar.

“Doktor tengah periksa abang Is. Tak tahu lagi macam mana keadaannya.” Julia memegang tangan ibu mertuanya. Dia cuba menenangkan ibu mertuanya.

Setelah hampir setengah jam, doktor yang memeriksa Iskandar tadi keluar. Terus mereka mendapatkan doktor untuk mengetahui keadaan Iskandar.

“Macam mana doktor dengan anak saya?”

“Syukur Encik Iskandar dah sedar. Cuma dia belum pulih sepenuhnya. Badan dia mungkin lemah sedikit. Jadi kita perlu pantau dia sedikit masa lagi. Tapi tak perlu risau kerana Encik Iskandar sudah semakin pulih.”

Lega ibu dan ayah Iskandar mendengar berita tersebut. Julia turut gembira dengan berita tersebut. Akhirnya doa Julia telah terjawab.

Keluarga Iskandar masuk untuk menjenguk Iskandar. Masuk sahaja ke wad Iskandar , mereka memandang sepasang mata yang turut memandang mereka. Saat ini lah yang mereka nantikan. Ibu Iskandar tidak dapat menahan air matanya jatuh. Dia mendekati Iskandar dan menatap wajah anaknya penuh sayu. Dia seolah-olah tidak percaya Iskandar sudah sedar. Iskandar memegang tangan ibunya.

“Mak..”Iskandar memanggil lemah.

“Mak bersyukur kau dah Is. Setiap hari mak berdoa agar Is cepat sedar.”

Iskandar hanya mampu senyum. Dia cuba untuk berkata-kata tetapi suaranya tidak jelas. Hanya mulutnya sahaja seperti terkumat-kamit. Tangannya menunjuk ke arah meja di tepi katil. Terdapat segelas air di atas meja tersebut.

Ibu Iskandar mengagak mungkin Iskandar mahu minum air. Lalu dia menyuruh Julia mengambil air tersebut.

Julia menghulurkan gelas tersebut pada ibu mertuanya. “Kamu sahaja yang tolong suapkan.”

Julia menyuakan gelas ke mulut Iskandar. Iskandar hanya memandang wajah Julia yang sedang menyuakan segelas air kepadanya. Julia memberi senyuman kepada Iskandar, Iskandar hanya memandang. Tiada perasaan. Julia sedikit kecewa. Mungkin Iskandar masih lemah, Julia memujuk hatinya.

“Ayah rasa Is perlu berehat. Mungkin esok dia akan pulih sedikit.”

Malam itu Julia membuat keputusan untuk menjaga Iskandar. Tetapi ibu mertuanya menyuruh dia balik dan berehat. Tambahan lagi, Julia perlu bekerja esok. Kalau diikutkan hati, dia mahu ambil cuti tapi ibu mertuanya berkeras menyuruh dia balik berehat.

“Ju balik berehat dulu. Mak boleh jaga Is. Lagipun sekarang Iskandar dah sedar, Ju tak payah risau-risau lagi okay.” Ibu mertuanya memujuk supaya Julia pulang kerumah.

Keesokannya, Julia bangun dengan hati yang sedikit tenang. Lega bila memikirkan Iskandar telah sedar. Julia tidak sabar untuk jumpa dengan suaminya tetapi dia baru teringat dia mempunyai janji temu yang penting dengan pelanggan pada hari ini. Nampaknya, dia terpaksa pergi ke pejabat dulu sebelum pergi menjenguk Iskandar di hospital. Sebelum itu, Julia terlebih dahulu menelefon ibu mertuanya di hospital.

“Assalamualaikum, mak. “ Julia memberi salam di telefon.

“Waalaikummussalam. “ Ibu mertuanya menjawab.

“Abang Is macam mana, dia dah bertambah baik?”

“Sekarang dia dah bertambah baik, siap boleh berbual-bual dengan mak dan abah lagi. Ju datang lah nanti ye.” Suara ibu mertuanya kedengaran ceria membuatkan Julia tersenyum.

“Nanti habis kerja, Ju datang.” Suara Julia turut kedengaran ceria.

Bersinar-sinar wajah Julia sehinggakan semua teman sepejabatnya perasan dengan perubahan Julia. Terutama sekali teman baiknya, Nina. Seperti biasa Nina akan cuba mengorek apa yang sedang berlaku pada sahabat baiknya.

“Aku tengok muka kawan aku sorang ni macam orang tengah angau.” Nina memulakan bicara. Julia sudah dapat mengagak Nina akan bertanya soalan itu.

“Iye ke? Muka aku macam orang sedang angau ke? Isy, mengarut lah kau ni.” Julia berpura-pura tidak faham.

“Ju, kau tak payah nak tipu aku. Sekali aku tengok kau, aku tahu apa yang sedang tersirat dalam fikiran kau sekarang ni.”

“Betul kau nak tahu.Betul ni?” Julia mempermainkan Nina. Nina pula semakin geram dengan sikap Julia.

“Betu lah. Cepatlah beritahu aku,” Nina menarik-narik tangan Julia.

“Iskandar ………dah……… sedarrrr”. Nina seolah tidak percaya.

“Betul ke? Syukur, Alhamdulillah.”

Nina turut sama gembira mendengar khabar tersebut. Sudah lama dia tidak melihat Julia segembira itu.

Julia sudah tidak sabar mahu ke hospital untuk berjumpa Iskandar. Dia ingin meminta maaf dari Iskandar. Dia mahu jadi isteri yang baik kepada Iskandar selepas ini. Diaa mahu bagi segala kebahagiaan kepada Iskandar.

Julia sampai di hospital. Sampai sahaja di wad, dia melihat seisi keluarga berada di situ termasuk adik Iskandar , Adam. Dia melihat mereka sekeluarga berbual dengan gembira. Julia berjalan mendekati mereka semua.

“Sampai pun Ju.” Ibu mertuanya menyedari kehadiran Julia.

Julia tersenyum sahaja kepada keluarga mertuanya. Terbit sedikit perasaanjanggal dari hatinya apabila mendekati Iskandar. Mungkin disebabkan sudah lama dia tidak berkomunikasi dengan Iskandar. Dia memandang Iskandar. Hanya tuhan yang tahu betapa bersyukurnya dia dapat melihat wajah itu ceria kembali. Julia mendekati Iskandar.

“Mak…..” Iskandar memanggil ibunya.

“Ini siapa?” Dia berbisik kepada ibunya.

Keadaan tiba-tiba senyap. Tawa yang didengar sebelum ini hilang.

“Ini Ju. Isteri Is. Is tak kenal ke?” Ibunya memberi penjelasan. Ada sedikit nada risau pada ibunya.

Iskandar hanya memandang Julia. Wajah Julia di tenungnya lama.

0 comments:

Post a Comment